Pada bulan April 2007 ayah telah disahkan oleh doktor mengidap kanser paru-paru dan dia hanya akan dapat bertahan untuk tempoh 6 bulan. Berita itu seperti satu taufan bagi kami sekeluarga. Sukar untuk menerima hakikat. Kenapa ia berlaku kepada kami? Apakah makna disebalik ujian sebegini? Sejak itu seperti tiada lagi perkara yang boleh memujuk hati kami sekeluarga untuk memikirkan perkara yang menyeronokan selain dari hanya memikirkan tentang ayah. Kami tahu ajal maut ditangan Tuhan tapi kami harus berusaha apa lagi dengan semangat yang ditunjukkan oleh ayah sendiri untuk sembuh. Kami merahsiakan dari ayah apa yang diperkatakan oleh doktor sebaliknya mengatakan bahawa penyakitnya hanya kanser biasa yang masih punya harapan untuk sembuh.
Pelbagai usaha telah kami lakukan. Dari hospital kerajaan ke hospital swasta hinggakan dari bomoh ke bomoh semua kami jumpa hanya untuk menyembuhkan ayah. Walaupun dalam hati takut bila mengira detik yang berlalu seperti semakin cepat. Hati sentiasa menimbulkan perasaan tidak puas hati dengan setiap cara perubatan selagi ayah tidak menampakkan tanda-tanda untuk sembuh. Memang ada perkara yang mengelirukan juga. Doktor kata ayah perlu menjalani kemoterapi tapi mengapa tidak dilakukan sebaliknya ayah hanya ditahan di hospital sampai berbulan lamanya. Seperti mereka pun tidak yakin tentang penyakit ayah. Setiap ubat dan produk yang disarankan kami cari asal ayah sembuh. Bomoh pula dengan pelbagai pendapat. Itu pun kami terima. Apa jua ramuan perubatan yang mereka inginkan kami cari. Sehingga terpaksa pergi ke setiap pelusok tempat asal ayah sembuh.
Menjelang bulan puasa pada tahun itu ayah ingin keluar dari hospital. Dia ingin menyambut ramadhan di rumah dan bukan di hospital. Kami adik-beradik usahakan dan syukur pihak hospital bersetuju untuk melepaskan ayah dan mensyaratkan agar ayah kembali ke hospital selepas hari raya.
Ayah nampak seronok sepanjang ramadhan. Dia tetap berpuasa kerana baginya tiada guna tidak berpuasa kalau sekadar untuk makan ubat tapi tetap tiada selera untuk makan. Jadi masa untuk makan ubat terpaksa diubahkan mengikut masa untuk dia menunaikan ibadah puasa. Setiap hujung minggu ayah akan mengirim sms agar dapat balik ke rumah untuk berbuka bersama.
Menjelang raya ayah seperti dapat merasakan ia adalah yang terakhir buatnya. Dia meminta kami untuk beraya di kampung pada tahun itu. Kami akur dan syukur pasangan kami masing-masingnya faham tanpa mempersoalkan tentang giliran.
Hari Raya kami jalani seperti biasa. Ayah semakin lemah tetapi tetap ingin meraikan aidilfitri. Walaupun sudah sukar untk bergerak tapi kehadiran sanak saudara yang menziarahi ayah tetap memberi sinar di wajahnya.
Selepas seminggu beraya ayah terpaksa kembali ke hospital. Kami bergilir-gilir menjaga ayah. Dia sentiasa ingin ditemani sepanjang masa. Walaupun dia tidak banyak bergerak dan bercakap cukup sekadar sentuhan dari kami adik beradik dan doa berpanjangan menemaninya sepanjang dia terlantar.
Setelah seminggu terlantar di hospital akhirnya ayah kembali menemui Yang Maha Esa pada 27 Oktober 2007, setelah 6 bulan seperti kata doktor. Dia pergi dengan tenang ditemani kami sekeluarga di sisi.
Ayah, kami telah berusaha tetapi Allah lebih menyayangi ayah...dan tiap kali tibanya Syawal kami merinduimu.Al Fatihah...
No comments:
Post a Comment