Tuesday, August 31

Ayah, Ramadhan dan Syawal

Bila tibanya Ramadhan aku tak akan dapat lari dari bermain dengan perasaan yang pasti akan tersentuh bila tibanya bulan yang mulia ini. Kenangan yang berlaku sejak 3 tahun lalu tetap segar dalam ingatan untuk terus ku kenang dan ada masanya aku tangisi.

Pada bulan April 2007 ayah telah disahkan oleh doktor mengidap kanser paru-paru dan dia hanya akan dapat bertahan untuk tempoh 6 bulan. Berita itu seperti satu taufan bagi kami sekeluarga. Sukar untuk menerima hakikat. Kenapa ia berlaku kepada kami? Apakah makna disebalik ujian sebegini? Sejak itu seperti tiada lagi perkara yang boleh memujuk hati kami sekeluarga untuk memikirkan perkara yang menyeronokan selain dari hanya memikirkan tentang ayah. Kami tahu ajal maut ditangan Tuhan tapi kami harus berusaha apa lagi dengan semangat yang ditunjukkan oleh ayah sendiri untuk sembuh. Kami merahsiakan dari ayah apa yang diperkatakan oleh doktor sebaliknya mengatakan bahawa penyakitnya hanya kanser biasa yang masih punya harapan untuk sembuh.

Pelbagai usaha telah kami lakukan. Dari hospital kerajaan ke hospital swasta hinggakan dari bomoh ke bomoh semua kami jumpa hanya untuk menyembuhkan ayah. Walaupun dalam hati takut bila mengira detik yang berlalu seperti semakin cepat. Hati sentiasa menimbulkan perasaan tidak puas hati dengan setiap cara perubatan selagi ayah tidak menampakkan tanda-tanda untuk sembuh. Memang ada perkara yang mengelirukan juga. Doktor kata ayah perlu menjalani kemoterapi tapi mengapa tidak dilakukan sebaliknya ayah hanya ditahan di hospital sampai berbulan lamanya. Seperti mereka pun tidak yakin tentang penyakit ayah. Setiap ubat dan produk yang disarankan kami cari asal ayah sembuh. Bomoh pula dengan pelbagai pendapat. Itu pun kami terima. Apa jua ramuan perubatan yang mereka inginkan kami cari. Sehingga terpaksa pergi ke setiap pelusok tempat asal ayah sembuh.

Menjelang bulan puasa pada tahun itu ayah ingin keluar dari hospital. Dia ingin menyambut ramadhan di rumah dan bukan di hospital. Kami adik-beradik usahakan dan syukur pihak hospital bersetuju untuk melepaskan ayah dan mensyaratkan agar ayah kembali ke hospital selepas hari raya.

Ayah nampak seronok sepanjang ramadhan. Dia tetap berpuasa kerana baginya tiada guna tidak berpuasa kalau sekadar untuk makan ubat tapi tetap tiada selera untuk makan. Jadi masa untuk makan ubat terpaksa diubahkan mengikut masa untuk dia menunaikan ibadah puasa. Setiap hujung minggu ayah akan mengirim sms agar dapat balik ke rumah untuk berbuka bersama.

Menjelang raya ayah seperti dapat merasakan ia adalah yang terakhir buatnya. Dia meminta kami untuk beraya di kampung pada tahun itu. Kami akur dan syukur pasangan kami masing-masingnya faham tanpa mempersoalkan tentang giliran.

Hari Raya kami jalani seperti biasa. Ayah semakin lemah tetapi tetap ingin meraikan aidilfitri. Walaupun sudah sukar untk bergerak tapi kehadiran sanak saudara yang menziarahi ayah tetap memberi sinar di wajahnya.

Selepas seminggu beraya ayah terpaksa kembali ke hospital. Kami bergilir-gilir menjaga ayah. Dia sentiasa ingin ditemani sepanjang masa. Walaupun dia tidak banyak bergerak dan bercakap cukup sekadar sentuhan dari kami adik beradik dan doa berpanjangan menemaninya sepanjang dia terlantar.

Setelah seminggu terlantar di hospital akhirnya ayah kembali menemui Yang Maha Esa pada 27 Oktober 2007, setelah 6 bulan seperti kata doktor. Dia pergi dengan tenang ditemani kami sekeluarga di sisi.

Ayah, kami telah berusaha tetapi Allah lebih menyayangi ayah...dan tiap kali tibanya Syawal kami merinduimu.Al Fatihah...

Wednesday, August 11

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al Mubarak


Semoga segala amalan kita di sepanjang bulan yang mulia ini diberkati Allah s.w.t dan dilimpahkan kurniaNya serta kegembiraan yang berterusan hingga ke akhir bulan...sebelum tibanya kegembiraan Syawal.Selamat Berpuasa Untuk Semua...Amin

Friday, August 6

Tiap Manusia Ada Harinya

..tiap manusia ada harinya
ini hari engkau
kadang teman memberangsangkan
kadang menjatuhkan

Teringat antara senikata dalam lagu Dunia Milik Kita ( kumpulan Search album Karisma,1990 ). Sememangnya dunia memang macam itu. Memang patut di umpamakan seperti roda. Sekejap kita di atas ada masanya kita akan berada di bawah. Sudah lebih 30 tahun aku bergelar insan di muka bumi ini jadi tak terlepas dari mengalami saat disanjungi dan saat dijatuhkan, saat dipercayai dan saat dikhianati, serta saat suka dan saat duka.Tapi aku percaya setiap yang kita buat dan setiap yang orang buat akan ada balasannya.Cuma masanya kita tidak ketahui, mungkin segera, mungkin juga setelah sekian lama ( ada masanya kita sendiri pun sudah lupa kecuali kita menyedarinya ) baru tibanya keadilan.

Aku pernah menyaksikan orang yang suatu ketika memburukan aku akhirnya menjadi buah mulut orang kerana keburukan yang ditunjukkannya sendiri. Aku juga pernah melihat orang yang cuba menjatuhkan aku dengan cerita-cerita yang tidak elok akhirnya menjatuhkan dirinya sendiri dengan perangai yang memalukan. Syukur mereka menerima balasan tanpa perlu aku membalas segalanya.Cukup dengan bersabar dan menyerahkan semuanya pada kuasa Tuhan..Sesungguhnya Tuhan Maha Adil..Tiap manusia ada harinya..

Thursday, August 5

Menjelang Syawal Sebelum Raya

Di RTM, biasanya sebelum tiba bulan puasa kita dah mula buat rakaman rancangan untuk Hari Raya.Bukan apa, bila dah tiba bulan puasa nak buat program yang berbentuk show agak tak sesuai so kena rakam awal lah then bila tiba hari raya nanti boleh lah beraya dengan aman..itu pun kalau dapat cuti la..nak mengeluh dah ditakdirkan kerja macam ni dan aku pun suka jadi terima je lah..

Jangan lupa raya ni kalau nak dengar program aku tajuknya 1 Sibufm Beraya...program berbentuk show santai yang melibatkan bakat-bakat di kalangan staf RTM Sibu..nanti aku update bila siarannya..buat masa ni hayati gambar-gambar dulu ok...Selamat Berpuasa..










Taman Jubli Bukit Aup Sibu

Kali ni aku nak bawa korang tengok antara tempat yang boleh dijadikan tempat kunjungan di Sibu...minum-minum, bagi ikan makan dan paling penting jangan lupa ambil gambar...Taman Jubli Bukit Aup, Sibu, Sarawak.






Taman Jubli Bukit Aup Sibu Part 2





Sunday, August 1

Ebah..Angkat Suara

Awal pagi lagi kena pegi ke Sibujaya ( sebuah kawasan perumahan di Sibu ) untuk buat coverage tentang Program Semarak Merdeka Jalur Gemilang dan lepas tu rakaman rancangan bermukun untuk Hari Raya nanti..

Aku tak pakar sangat tentang bermukun ni tapi sebagai seorang insan yang berjiwa seni aku tetap menghargai setiap bentuk kesenian..

Seorang penggesek biola, dua orang seh gendang ( yang akan main gendang sambil berpantun ) dan pengacara. Kesenian ini masih lagi mendapat sambutan masyarakat lama dan baru di Sarawak. Diadakan di majlis perkahwinan dan setiap minggu rancangan secara online di radio tetap menjadi pu ja an...ebahhhh...angkat suara..








Saturday, July 31

Pahlawan Di Hati

anak-anak harapan nusa bangsa


Hari ini adalah sambutan Hari Pahlawan yang disambut di negara kita setiap tahun pada 31 Julai sejak 1960 an lagi. Untuk kali pertamanya diadakan di Dataran Merdeka dan sebelum ini sambutan adalah di Tugu Negara. Hari untuk kita memperingati pejuang-pejuang negara yang sanggup mengorbankan nyawa untuk mempertahankan negara.

Kini negara kita tidak lagi dijajah, jadi perjuangan yang macam mana pula yang boleh kita lakukan?
Saban hari kita dipaparkan dengan berita anak-anak kecil yang menjadi korban ibu bapa yang tidak bertanggungjawab..kes dera, kes bunuh anak..dibuang merata tempat..kita juga sudah muak mendengar ada saja samseng jalanan yang mengorbankan nyawanya di jalanan...Pengorbanan sebegini kah yang nak kita kenang?

Moga kita mampu untuk menjadi seorang yang akan menjadi pahlawan di hati sekurang-kurangnya kepada anak-anak kita..kerana sebagai ayah/ibu kita juga melakukan pengorbanan..

Thursday, July 29

Budi Baik Dikenang Juga

Katil bersalin era 60 an


Peralatan untuk pembedahan tulang zaman dulu


Skeleton Lelaki dan Wanita


Evolusi pakaian kakitangan hospital

Kelengkapan lama untuk bayi

Muzium Memorial Hospital lau King Howe

Replika Mendiang Law King Howe


Suatu hari sedang aku mencari idea untuk menerbitkan sebuah rancangan untuk siaran radio, aku terfikir untuk mencari sesuatu yang menarik untuk dipaparkan tentang Sibu. Aku mula surf internet dan terpapar beberapa tempat yang menarik yang boleh dikunjungi di bandar Sibu. Bila terbaca tentang kisah di sebalik pembinaan Muzium Memorial Hospital Lau King Howe aku terus berminat untuk menyelami kisahnya untuk dikongsikan kepada umum.

Sedikit sejarah tentang hospital ini, ia telah memulakan operasinya pada tahun 1936 dan pada tahun 1994 operasinya telah ditamatkan kerana pembukaan sebuah hospital baru di bandar Sibu. Struktur lama bangunannya telah dibina daripada kayu di tebingan persimpangan Sungai Rejang dan Sungai Igan. Nama hospital ini diberikan dengan nama pengasasnya Mendiang Law King Howe, seorang tokoh yang sangat terkenal dalam sejarah perubatan di Sibu. Beliau telah datang ke Sibu pada tahun 1916 untuk menguruskan perladangan getah. Beliau seorang yang sangat prihatin dengan soal kesihatan penduduk di Sibu hinggakan pada tahun 1930 beliau telah menyuarakan hasratnya untuk menderma kesemua harta kekayaannya kepada kerajaan untuk membina sebuah hospital yang besar dan moden untuk kegunaan penduduk di Sibu. Usaha beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Mr CV Brook, Rajah Sarawak ketika itu. Selepas itu beliau kembali negara China, negara asalnya dan meninggal setahun kemudian.

Muzium Memorial Hospital Lau King Howe merupakan muzium memorial yang pertama seumpamanya di Malaysia. Lokasinya di Jalan Hospital, Dataran Bandar Sibu. Kini beroperasi untuk memberikan maklumat kepada generasi moden tentang sejarah perubatan di Sibu. Beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada hari Selasa hingga Ahad, muzium ini memberikan banyak informasi tentang pelbagai sejarah, dari sejarah hospital itu sendiri hingga ke peralatan terawal yang gunakan dengan menyediakan beberapa bahagian dengan cerita yang tersendiri.

( dipetik dari skrip siri Sarawak Kinek Tok siaran di Sarawak FM pada 1 Ogos 2010 jam 4.30 ptg )



Hipokrit Yang Bertempat?

dalam sekumpulan tak semuanya baik belaka


Bukan aku saja tapi mungkin semua orang tak suka orang yang berpura-pura lebih-lebih lagi kalau dia orang yang kita sayang atau rapat. Selama hidupku aku cukup bermasalah dengan orang sebegini. Kenapa senyum kalau dalam hati tak suka. Kenapa bergurau senda dengan orang yang kita rasa sangat menyampah dengannya? Aku cukup tak faham perkara macam ini hingga berlakunya satu perkara yang telah memberi aku ilham untuk tidak menghiraukan sangat manusia yang hipokrit. Ia wujud pada kebanyakan orang dan kalau orang sebegini nak kita elakkan alamat kita tidak mempunyai kawan. Cukuplah kalau ada sorang dua yang jujur kira baguslah. Pepatah berkata berkawan biar seribu. Dalam seribu takkan semuanya elok kan?

Baiklah cerita tentang ilham tadi. Suatu ketika aku berada dalam situasi tekanan yang berpunca dari sikap seorang kawan yang aku rasakan cukup mahir berpura-pura. Tak payah sebut apa yang dia buat kita dah boleh bayangkan sendiri sikap orang yang hipokrit. Babak pentingnya ialah apa yang dinasihatkan oleh seorang kawan lain pada aku. Dia kata " ada masa kita perlu bersikap hipokrit andai ia lebih baik bila dilakukan". Wah..sesuatu yang tak pernah aku dengar..satu nasihat yang bunyinya sangat jahat..huhu. setelah beberapa lama aku fikirkan dan nilaikan memang benar apa yang dia kata. Tak perlu kita tunjukkan sangat apa yang kita rasa pada setiap orang di depan mata kita. Kalau dah lumrahnya orang yang sentiasa memberi senyuman itu dikatakan baik jom kita senyum pada semua orang. Apa yang berada di hati tak akan nampak seperti apa yang di pancarkan di wajah..Jadi tunjukkanlah yang elok-elok saja.

Sekarang aku tak nak fikirkan lagi seorang kawan itu jujur ke tidak atau ikhlas ke tidak berkawan dengan aku. Itu hak dia. Aku pun tak nak dipersoalkan tentang tahap kejujuran aku dan keihlasan aku kerana yang lebih penting dan lebih selamat serta lebih baik di mata setiap orang ialah bila kita nampak sentiasa gembira. Jadi tunjukkanlah yang baik-baik saja. Soal peribadi hanya untuk yang terdekat dan yang memahami sahaja. Untuk mengelak masalah lakukan hipokrit yang bertempat...

Pengiktirafan Pada Diri

Pengalaman adalah guru yang terbaik


Seseorang mendapat pengiktirafan kerana banyak perkara. Mungkin kerana jasanya, kelebihannya atau apa jua yang boleh membuat orang mengkaguminya. Pengiktirafan ada pelbagai bentuk, mungkin diberikan gelaran atau mungkin diberikan sijil dan sebagainya. Seterusnya bagi si penerima pengiktirafan itu pasti ia sesuatu yang sangat bermakna kepada hidupnya dan pasti memberi lebih keyakinan pada diri. Kita pula siapa yang berikan pengiktirafan dan apa yang boleh diberikan pengiktirafan pada diri kita? Kalau tiada, adakah ia sebagai alasan untuk tidak merasa yakin pada diri sendiri? Bagiku tak salah mengiktiraf diri sendiri.


Aku pernah mengikuti kursus mengenai kecemerlangan diri yang mana si penceramah pernah mengatakan untuk memberi keyakinan pada diri berpegang pada prinsip " aku adalah diri yang aku inginkan ".Maknanya di sini setiap kita perlu ada impian untuk menjadi seperti mana yang kita inginkan. Selami keinginan diri dan seterusnya lakukan sesuatu untuk mencipta identiti diri..Bila dah jumpa identiti diri yang terbaik berpeganglah padanya.

Kesimpulan apa yang ingin aku kongsikan di sini, kita perlu tahu apa kelebihan yang kita miliki yang di anugerahkan Tuhan kepada kita. Kalau orang lain tak menghargainya cukuplah kita menghargainya sendiri sebagai satu pengiktirafan kepada diri sendiri. Aku bukan pakar motivasi. Aku cuma memikirkan, mempraktikkan dan seterusnya berkongsikan cerita dari apa yang aku perolehi dari mereka yang pakar. Pengalaman juga adalah guru yang pakar.

Monday, July 26

Forever And One


Selamanya aku akan merindui saat suka duka kehidupan.Terima kasih Tuhan, kerana memberi aku kehidupan ini..

Buang ke Bunuh?



dari keratan akhbar


Kes buang anak..Kalau jarang-jarang berlaku lagi kita tak dapat nak menerima perkara sebegini apa lagi kalau sudah saban hari kita dihidangkan dengan cerita yang sama cuma dilakukan oleh manusia yang berbeza tapi di negara kita juga. Kemarahan membara di dalam hati tapi di mana untuk dilepaskan...lainlah kalau si perlaku berada di depan mata. Mungkin selagi belum terkeluar berita dengan tajuk "hukuman mati kesalahan membuang bayi" selagi itu tiada yang akan takut.
Atau mungkin dari segi perkataan juga menyebabkan si perlaku merasa kurang bersalah atau berdosa. Aku cukup setuju bila istilah mat rempit diganti dengan istilah samseng jalanan. Mereka memang samseng memang layak digelar begitu..Kalau masih juga nak rasa bangga digelar samseng tak tau nak cakap apa dah...Jadi mungkin istilah buang anak boleh diganti dengan istilah bunuh anak..mungkin bunyinya lebih menakutkan si perlaku..kerana membunuh hukumannya adalah tali gantung atau penjara seumur hidup...kerana jarang sekali kita dengar bayi yang dibuang itu selamat..semuanya jadi mangsa semut dan seperti sampah..cukup menyayat hati..

Sunday, July 25

Tiada Istilah Bosan

Dalam hidup aku aku benci istilah bosan, tak tahu nak buat apa. Kalau bosan dengan beberapa perkara lain tu adalah..Seperti bosan dengan makanan yang sama atau bosan dengan sikap seseorang..itu antara contoh yang boleh diberikan..Aku sentiasa mencari sesuatu untuk dilakukan dari duduk tanpa berbuat apa-apa. Sebab aku tahu sebenarnya aku jenis cepat bosan..Di pejabat purata aku duduk di kerusi aku mungkin dalam 20 minit je kot sehari..selebihnya aku mesti bergerak..mengular pun kira bergerak jugak..janji tidak bosan. Kalau dah tak ada idea sangat nak buat apa lebih baik aku tidur..Aku seperti tak boleh hidup tanpa komputer..untuk game, surf dan banyak lagi kepentingannya pada aku..kalau dah terdesak sangat pun handphone pun jadilah..kira IT jugak la..janji terisi masa daripada bosan..emm..sekarang ni dah mula dengan hobi baru...mengambil gambar..bukan baru niat tu dah lama..cuma dulu ambil gambar guna handphone sekarang bila dah tercapai hajat memiliki sebuah kamera, aku semakin bersemangat...tengoklah sendiri antara hasil terawal aku, hanya sekadar hobi untuk kepuasan diri sendiri..





Friday, July 16

Biru Mata Hitamku




Sekarang semua kecoh bercakap tentang skandal video lucah seorang penyanyi lelaki dengan pasangannya yang dikatakan sehingga mencecah angka 32 orang.Aku tak ambil tahu sangat tapi menjadi tahu juga perkembangan demi perkembangan kes ini.Bermakna kes ini cukup hebat diperkatakan oleh semua orang walaupun ceritanya berasal dari seberang.Kalau dah popular macam tu lah lebih-lebih lagi cerita yang boleh menjatuhkan individu tertentu lagi seronok orang nak membesar-besarkan cerita. Aku pula berfikir secara logik. Dari segi akhlak memang la tak patut dia buat macam tu tapi rasanya kalau sebagai simpanan peribadi itu hak dia lah. Selagi dia tidak menggunakan 'koleksi'nya itu sebagai senjata untuk menjatuhkan orang lain atau sebagai satu perusahaan yang menguntungkan. Ini bukan pertama kali kes sebegini berlaku.Sebelum ini pun kita banyak dengar kes video lucah yang melibat golongan popular seperti penyanyi,pelakon,model dan pemimpin juga. Cuma peliknya yang biasanya tertangkap ialah 'pelakon' dalam video tersebut dan penyebarnya pula langsung tak diketahui umum.Sekarang ini siapa yang tidak memiliki telefon bimbit yang tidak bercamera? Hampir seratus peratus ada jadi untuk membuat benda-benda macam ni terlalu mudah.Belum lagi peratusan pengguna telefon bimbit yang memiliki gambar atau video peribadi yang seumpama ini.Mungkin tinggi jugak.Jadi berhati-hatilah menjaga barangan peribadi milik anda kerana bila ia tersebar yang akan menjadi mangsa ialah anda, si pencuri dan si 'penerbit' akan bebas menerbitkan edisi yang seterusnya.

Saturday, May 1

Game Bola Di Youtube



seronok bermain tambah seronok bila berkongsi pengalaman bermain dengan manusia sjagat..aku buat video ni untuk berkongsi keseronokan menjadi seorang gamer..baru je pas upload di youtube..

Jom Gaming



Kali ni nak cerita pasal game pulak..ni antara hobi yang aku lakukan saban hari..game bola antara favorite aku. Aku mula main game bola sejak 80 an lagi dari bentuk 2D hingga ke hari ini dlm bentuk 3D. Terdapat hanya 2 jenama game bola yang popular di dunia ketika ini..FIFA 10 (terkini) keluaran EA Sport dan PES 2010 (terkini) keluaran KANOMI. Yang mana terbaik? Masih tidak jelas kerana kedua-duanya mempunyai peminat yang sama rata..aku pula memilih PES..keluaran org Jepun..setiap tahun kedua-dua syarikat masing-masing akan mengeluar siri terkini..tetapi tidak semestinya keluaran setiap tahun telah melakukan update yang terbaik untuk game ini..aku telah membeli siri PES6,2008,2009 dan 2010..tetapi hingga kini aku masih memilih PES 6 sebagai yang terhebat, seperti kebanyakan gamers yang lain di seluruh dunia.Kenapa? terlalu banyak 'bugs' yang berlaku dalam pes 2008 terutama dari segi logistik permainannya..senang sangat nak menjaringkan gol baik dalam perlawanan mahu pun sepakan percuma..pes 2009 boleh tahan jugak dan pes 2010 pula hanya dapat dimainkan oleh komputer yang mempunyai kelengkapan tahap tertinggi..jadi jangan bazirkan wang RM20 membeli dvd yang tak dapat dimainkan oleh pc kita..
Tidak kah PES 6 telah out of date?
Memang pun kalau tidak dilakukan update sendiri..CR masih dlm MU dan Henry masih main dlm Arsenal...so jgn ketinggalan zaman..terdapat banyak patch yang tersedia untuk di download untuk update kita punya PES program..

Nanti aku akan buat post pasal PES 6 updating..ini untuk advance users..tp sapa2 pun boleh belajar..

Saturday, October 10

Tuesday, July 7

THANK YOU



Terima kasih atas jemputan dan juga layanan yang diberikan oleh kakitangan Amcorp Sibujaya masa Majlis Perasmian Butterfly Cottage pada 20 Jun 2009 yang lepas..1 Sibujaya 1 Malaysia...nanti gua nak beli rumah kat situ jugak lah...haha...Keep In Touch